Friday, December 19, 2014

Burung!

(إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ)


"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."


[Surat As-Saff : 4]


Jika diperhatikan perarakan beburungan di angkasa raya terutamanya di petang hari, kita pasti berasa kagum dengan formasi-formasi yang mereka persembahkan. Betulkan?. Makhluq yang Allah ciptakan itu terbang di belakang ketua kawanan mereka menuju ke destinasi yang sama. Bagi kawanan burung yang melakukan “penghijrahan” dari benua ke benua yang lain, pasti akan menempuh tempoh perjalanan yang panjang dan mereka juga bakal mengharungi ribut angin yang tidak menentu di atas sana. Masing-masing terbang tanpa melangkaui barisan yang di hadapan, jarang pula ada yang saling berlanggaran.


Begitulah percaturan Allah SWT, suatu misalan yang ditunjukkanNya kepada  manusia untuk sama-sama kita menyedari dan menghargai sahabat-sahabat seperjuangan yang hadir dalam kehidupan kita. Amat sukar bagi kita untuk sampai ke matlamat yang satu dalam keadaan kita berseorangan. Perlu ada yang memimpin dan dipimpin, saling menasihati, saling menguatkan, bahkan saling kasih mengasihi.  Dan tiadalah yang mampu mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang memerhatikan tanda-tanda kebesaranNya.

VIVA, kini sudah menjengah ke tahun yang ketiga. Berbaki beberapa tahun lagi, insyaAllah kita akan kembali ke tanah air sebagai doktor muslim yang dinanti-nantikan. Apa yang ingin saya bicarakan dalam coretan ini ialah, betapa pentingnya nilai ukhuwwah itu dalam menunjangi sesebuah kesatuan. Persaudaraan dalam erti kata yang diinginkan oleh Islam. Persaudaraan yang diikat atas dasar tauhid yang tersangat ampuh, mengatasi kepentingan-kepentingan yang lain.

Umum mengetahui bahawa antara perkara pertama yang dilakukan oleh baginda rasul ialah mempersaudarakan golongan muhajirin dan ansar. Persaudaraan yang telah meruntuhkan sifat “ananiah” atau sifat keakuan dalam diri manusia. Mengapa? Kerana tanpa persaudaraan daripada dua kelompok asas ini, zaman keemasan yang ditempa umat Islam silih berganti setelah pemergian baginda, adalah perkara yang mustahil.

Begitu jugalah apa yang dilakukan oleh barisan kepimpinan VIVA awal-awal lagi di era kepimpinan saudara Abdul Fattah bin Abdul Ghaffar, ukhuwwah adalah persoalan yang pertama.  Setelah mengharungi berbagai mehnah, kemuncaknya sewaktu kita bersama-sama bergelap untuk membuat persiapan bagi Program Makan Malam pertama VIVA. Ketika itu sambil makan-makan, masing-masing melontarkan buah fikiran untuk penambahbaikkan kepimpinan berikutnya dalam sesi muhasabah bersama kepimpinan VIVA sesi 2012/2013.


Perkara yang sama berulang, VIVA Annual Dinner & Gathering Night 2014 telah disempurnakan dengan jayanya di bawah kelolaan saudara Muhammad Zikrie bin Zakaria. Program yang sangat-sangat diinginkan oleh saudara Nabil Irfan bin Mohd Ali, selaku ketua kita pada sesi lepas, telah berjaya mengumpul hampir keseluruhan adik beradik VIVA. Disekalikan dengan Slot Glow With Flow bersama saudara Imran bin Kasran dan sesi makan malam seterusnya disambung ditempat ‘rahsia’.



Acara sebegini amat penting kerana, perjalanan yang jauh ini agak memenatkan dan pastinya terdapat banyak kelemahan yang perlu ditilik semula. Jadi perkumpulan tahunan seperti ini dapat memperbaharui semangat juang kita bagi menghadapi cabaran baru bagi tahun ketiga ini. Kekurangan kepimpinan dalam mengurus, dapat dikesan dan diperbaiki.  Inilah dia rahmat yang Allah SWT berikan kepada hamba-hambanya yang sentiasa bermusyawarah dalam memutuskan sesuatu tindakan.


Akhirnya, jadilah seperti burung yang digambarkan sebelum ini, megah menongkah angkasa bersama-sama. Bersama-sama bergerak menuju matlamat yang sama, menjulang semangat persaudaraan yang telah kita bina bersama.


FikryAlQahiry,
Tahun 3 Perubatan,
Penolong Ketua Batch,
ViVA

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen anda!!