Tuesday, February 24, 2015

PERINTIS TRANSFORMASI




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


            Pada 20 Februari 2015 yang lalu telah berlangsungnya Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Al-Azhar 2015 dengan pembawaan tema “Suarakan Solusi, Menuju Transformasi”.Tema ini bertepatan dengan objektif yang ingin diketengahkan, iaitu memupuk rasa kecintaan dan cakna ahli terhadap PERUBATAN Cawangan Al-Azhar (PCA)  serta merupakan salah satu platform yang disediakan untuk ahli memberi cadangan, lontaran idea, persoalan dan muhasabah berkaitan gerak kerja persatuan secara keseluruhan terus kepada pimpinan bagi menentukan hala tuju dan fokus PCA untuk sesi 2015/2016.

            Kemeriahan MTC Al-Azhar kali ke-2 ini telah menyaksikan penyertaan yang ramai daripada kalangan ahli VIVA sendiri bagi menyahut panggilan menjadi sebahagian daripada  perwakilan dan menyuarakan solusi untuk sebuah transformasi. Sikap cakna yang ditunjukkan oleh ahli VIVA ini menunjukkan bahawa kita semakin matang dalam memahami salah satu dasar dalam perundangan Islam iaitu bermusyawarah. Hal ini bertepatan sebagaimana firman Allah SWT di dalam  Al-Quran yang bermaksud:

           
“Dan juga (bagi) orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhan dan melaksanakan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
                                                                                                            As-Syura:Ayat 38

            Musyawarah merupakan salah satu medium untuk ahli di dalamnya menetapkan suatu keputusan. Setiap pandangan dan hujah yang dilontarkan perlulah mengikut adab dan syariah Islam. Keputusan akhir yang telah disepakati oleh ahli mesyuarat juga perlu dihormati dan dilaksanakan.

            Ahli VIVA juga tidak melepaskan peluang dalam melontarkan idea serta buah fikiran bagi meningkatkan kualiti gerak kerja barisan pimpinan PERUBATAN Cawangan Al-Azhar untuk sesi yang akan datang. Suara-suara inilah yang diperlukan untuk mencorakkan bagaimana transformasi yang kita mahukan.

Barisan pimpinan PCA yang sebahagian besarnya terdiri daripada kalangan ahli VIVA sendiri juga perlulah optimis dalam melaksanakan manifesto yang dilaungkan kepada ahli. Amanah yang dipegang sebagai pimpinan AJKT perlulah dilaksanakan dengan sempurna kerana ia akan dipersoalkan di hari kemudian. Sokongan daripada ahli VIVA buat kalian tidak akan putus. Perlu kalian ingat bahawa kalian tidak bersendirian kerana adik-beradik VIVA sentiasa bersedia menjadi dinding sandaran.

Sekalung tahniah juga diucapkan buat ahli VIVA yang telah terpilih sebagai penerima Anugerah Kualiti Biro pada MTC yang lalu.Antaranya ialah:
-          Wan Nur Muhammad Sharhan bin Ikmal Hisham (BCAD)
-          Muhammad Fauzan bin Mustaffa (BCARE)
-          Muhammad Faris Mahfuz bin Hj. Zakaria (BPP)
-          Ahmad bin Abdullah (BPI)

Semoga penghargaan ini menjadi titik tolak buat kalian untuk bergerak lebih ke hadapan dan menjadi inspirasi buat adik-beradik VIVA yang lain untuk dicontohi.

Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan diucapkan buat ahli VIVA yang telah menjadi sebahagian daripada ahli jawatankuasa pelaksana MTC kali ke-2 yang lepas. Usaha kalian tidak berbayar di dunia, namun ia bernilai di akhirat sana. In sha Allah.

Pengakhirannya, perlu untuk kita fahami bahawa setiap perubahan yang kita mahukan tidak akan terlaksana seandainya ia hanya sekadar dirintis di mulut. Sebagaimana kita gah dalam meyuarakan solusi, begitulah kita perlu gah dalam medan implementasi. Janganlah kita meludah manis yang mana orang lain merasa pahitnya. Kita perlu bergerak bersama-sama mencorakkan perubahan yang kita mahukan kerana kita adalah Perintis Transformasi.
           

Muhamad Zikrie Bin Zakariya
Unit Kebajikan VIVA 14/15